Hairz Zer: Teknik Hanyut Menggunakan Rod Ultralight Sailang

Pasti ramai yang tak tahu macam mana agaknya cara mudah memancing ikan sungai bersisik yang memiliki saiz badan dan mulut yang kecil. Jom baca artikel kali ini bagaimana saya mempraktikkan teknik yang mudah dan cepat.

Antara spesies yang banyak mendiami Sungai Langat, Hulu Langat adalah Seluang, Tengas Daun dan Masai. Saiz biasa yang kita boleh temui sekitar 5-12cm dan saiz-saiz ini jugalah yang sedap dibuat lauk kerana rasanya manis. Suka saya ingatkan spesies ini mempunyai tulang-belulang yang halus dan banyak. Jadi kena lebih peka bila menjamah.

Selain menjala, teknik yang mujarab dan cepat untuk memancing ikan-ikan ini adalah teknik menghanyutkan umpan. Asas teknik ini sama seperti bottom menggunakan batu kecil dan mata kail halus. Cuma kali ini tidak perlu tunggu lama. Teknik hanyut umpan ini juga hampir sama dengan fly fishing.

Terima kasih tak terhingga kepada Kanicen Nix atas ilmu matching and balancing pancingan ultralight, abang ipar saya, Noraffendi Hamid (fb : Buku Lima) ikhlas mengajar saya teknik ini semasa kami sama-sama memburu tengas 15 tahun dulu dan sahabat saya Khairul Amin (fb : Khairul Amin) mengajar dan mengembalikan nostalgia teknik ini bersama saya memburu Masai baru-baru ini. Ia sebenarnya ilmu pancingan turun-temurun dari orang tua-tua dahulu dan masih relevan untuk digunakan sehingga kini. Terima kasih juga kepada mereka yang tak henti-henti menyumbang ilmu dan berkongsi keseronokan.

Spot Pancingan

Seluang

Ikan seluang senang ditemui hampir setiap susur Sungai Langat. Ia berenang dalam kumpulan 5-10 ekor dalam satu kelompok. Ia juga senang mendiami hulu sungai, tepian sungai besar, paya, terusan atau parit dan lombong. Seluang juga biasa dijadikan umpan menduga pemangsa seperti Sebarau, Bujuk, Haruan, Baung, Belida dan Raja (Peacock Bass).

Seluang

Sungai Langat: Lubuk Manggis

Tengas Daun

Berbeza dari habitat masai, Tengas Daun lebih banyak ditemui dan gemar mendiami sungai bukit berbatu dengan kondisi air yang sejuk. Di Hulu Langat, ia senang dilihat sekitar hulu sungai seperti Sg Pangsun, Sg Lopo dan Sg Congkak.

Tengas Daun

Sungai berbatu

Masai

Masai atau Sia lebih banyak mendiami sungai yang berpasir dan kebiasaannya di sekitar hilir sungai. Di Hulu Langat, masai lebih banyak ditemui sekitar Batu 14 hingga ke hilir Nanding, Sungai Serai, Kg Melaka dan berdekatan.

Sia / Masai: Kredit foto: Khairul Amin

Sungai berpasir

Setup

Setup yang paling sesuai semestinya ultralight. Gunakan rod yang memiliki line poundage 1-6lb. Pastikan reel spinning saiz 500 – 2000 untuk kepuasan maksimum berlawan dengan ikan kecil dan padankan tali braided tidak melebihi 6lb. Kenapa braided? Tali braided tidak menyimpan memori dan cepat menyampaikan signal ketukan ikan untuk anda membuat hook set. Anda boleh gunakan snap atau swivel saiz 0 atau 00 dan diikat terus pada mainline. Leader tidak diperlukan. Cukup sekadar membuat perambut mono atau fluorocarbon 4-8lb. Gunakan batu hidup bulat 1/16 atau batu kapit kecil sekadar memudahkan untuk membuat balingan jauh.

Boleh juga gunakan timah solder dipotong kecil dan lipatkan pada perambut. Gunakan getah gelang sebagai stopper. Lebih kecil dan ringan batu lebih rendah potensi sangkut kerana umpan akan sentiasa berada di pertengahan air dan jauh dari struktur dasar.

Mata kail yang digunakan adalah dari jenama Eagle Wave DX400 dari saiz 5-9. Jenama ini dari jenis tanpa lubang. Gunakan arahan dibelakang bungkusan cara mengikat bagi yang tiada kemahiran.

Saya menggunakan rod KN Sailang 2-6lb. Inilah kelebihan Sailang, all-rounder ultralight rod dengan action fast dibina khas untuk semua game dan spesies ikan. Reel Spinning Shimano Nasci c2000 shallow spool dengan tali braided KN Prototype 6lb.

Umpan

Umpan terbaik adalah Kalkatu. Agak susah nak jumpa kalkatu kerana musim keluarnya tak menentu.

Kalkatu: Sumber – Google

Cara paling mudah beli saja cengkerik. Cari cengkerik yang cerah dan kekuningan kerana jenis ini paling laku diambil ikan berbanding hitam atau gelap.

Cengkerik: Cerah kekuningan

Teknik Pancingan

Seluang

Cari kawasan berarus kecil dan sederhana. Buat balingan ke hulu arus dan biarkan umpan dan batu tadi hanyut mengikut arus. Lepaskan tali dalam 2-5 meter ( bergantung lebar sungai ) dan karau perlahan hingga terasa ketuk ikan menyambar umpan. Seluang biasanya kerap berlegar di atas. Jadi spesies ini lebih cepat menyambar setiap kali umpan jatuh ke air. Buat hook set lembut bila terasa umpan dibawa lari. Tak perlu sentap kuat takut terlucut kerana mulutnya kecil. Melayan larian penggempur arus ini terasa macam dapat ikan besar pula. Kena pada saiz, Seluang ini tak kurang hebat. Kadang tu boleh lari sampai ke tebing seberang.

Tengas Daun

Sekiranya anda kepingin mencari saiz idaman, cari lubuk yang lebih sunyi dan dalam. Cari jika ada batu besar di tengah atau tebing sungai. Buat balingan ke hulu arus dan hanyutkan ke celahan batu besar tadi kerana saiz gemar bersembunyi di bawahnya. Tengas saiz kerap mengambil umpan di bawah dan dasar jadi pastikan umpan tenggelam sebelum melalui kawasan berbatu. Sedia untuk hook set. Tengas terlalu pantas mengaut umpan dan lari semula ke bawah batu.

Masai / Sia

Masai lebih suka bermain di kawasan terbuka dan tidak berstruktur. Buat balingan ke hulu sungai yang sedikit berarus. Biarkan ia hanyut melalui tengah antara arus dan tenang. Tutup bail arm dan tahan rod beberapa saat. Masai akan mula mengejar umpan dan bolehlah sedia untuk buat hook set. Masai juga berenang secara berkumpulan jadi dalam setiap kelompok pasti ada yang dominan dan saiz. Macam mana nak kenal Masai? Masai mempunyai duri kecil berlawanan arah dengan sirip dorsal yang terletak di bahagian atas badan.

Khairul Amin dan Masai berpisah tiada..

Ulangi teknik sama dan ambillah hasilnya sekadar perlu. Tapi ingat, saiz cilik anak tak perlulah bawa balik. Bagi peluang mereka membesarkan koloni agar kelestarian faunanya kekal buat seluruh generasi kita. Jangan lupa bawa sekali plastik cengkerik. Pastikan tiada sampah tertinggal. Sungai kita tanggungjawab kita.

Semoga kebaikan yang kita hidangkan dapat memberi manfaat kebaikan kepada manusia lain. Kekalkanlah keharhomian adab dan disiplin dalam menimba ilmu khususnya ilmu pancingan sesama kita. Hormati setiap jiwa ikhlas yang tak jemu-jemu menyumbang dan membangunkan sukan memancing di negara ini. Bersih sungai bukan dari sungai itu sendiri tetapi dari jiwa sanubari kita yang suci dan sentiasa cintakan hal-hal yang baik. Janganlah menjadi mata lalat yang suka mencari keburukan dan busuk sampah. Moga bermanfaat.

Related posts

FISHING TRIP. DON’T BE TOO SERIOUS. JOKES ARE NEEDED WHEN FISHING

BIGEYE TREVALLY AND BIGEYE SCAD NIGHT FISHING USING GELI GELI SOFTBAIT

SAILFISH ON ULTRALIGHT FISHING SETUP