Zamisma Abu: Kemaruk Pancingan Ultralight Yang Tiada Jalan Keluar

Jika ditanya pendapat saya kenapa saya jatuh cinta pada teknik pancingan ultralight?

Jawapan yang sangat mudah kerana saya inginkan kepuasan yang simple tanpa memaksa diri ketika mencari strike. Memang agak kekok pada mulanya apabila beralih daripada penggunaan rod heavy kepada ultralight. Macam-macam terjadi contohnya gewang jangan cakaplah, banyak yang jadi korban. Tapi itu semua bukan punca pematah semangat. Banyak juga mencari artikel untuk bacaan rujukan tapi sekadar bacaan bukanlah ilmu itu muktamad. Kata orang

Ilmu paling bermakna ialah pengalaman dan sahabat

Alhamdulillah mula mengenali Kanicen Nix bukan kenal sangat pun tapi insan ini ada keistimewaan kerana beliau tidak lokek ilmu. Mula follow Facebook Kanicen Nix dari situ saya belajar matching and balance yang betul. Bukan senang nak dapat keserasian dalam mengawal drag dengan rod ultralight dan line 6lb ke bawah. Kalau ada yang kata “bukan susah nak layan ultralight dari dulu dah ramai yang main UL” itu cakap tanpa fakta. Ada yang main ultralight tapi rod light dengan line 6lb dan ada juga yang guna line 6lb ke bawah tapi rod dan reel bukan spec ultralight. Macam-macam kombinasi yang lebih pada cara sendiri.

Syoknya ultralight fishing apabila anda mula ketagih, kemaruk dan boleh bawa igau kalau dah mula dapat feel dan strike. Dari kecetekan pengalaman hinggalah saya mula mencuba pelbagai gaya dengan penggunaan rod ultralight. Pemilihan rod ultralight yang sesuai dan serasi dengan diri amat penting supaya kita dapat membuat lontaran yang baik dan tepat. Berbekalkan rod Sailang 2-6lb saya mencuba gaya ultralight jigging. Syokkk gilerrr!!!!

Patutlah selama ini apabila tengok geng lain jigging macam seronok. Memang kalau kena spot jig baru jatuh ke air sudah disambar rakus dan beberapa kali dibuli dan mainline putus terkena batu mana dapat tahan mainline 1lb diseret ke batu. Paling best apabila rod Sailang lentok mencecah air kebanyakannya bukan happy ending sampai satu tahap mainline 1lb habis satu spool di seret entah ke mana. Dalam situasi begitu, saya redha habis tali daripada cuba bertarung kerana memikirkan sayang rod. Itulah ilmu yang hanya diperoleh melalui pengalaman. Mungkin daripada pengalaman itu saya akan lebih bersedia dalam mendalami ilmu ultralight jigging.

Saya juga mencuba teknik ultralight landbase jigging dengan menggunakan rod Sailang. Memang betullah!!! Rod all rounder ini boleh dipelbagai guna bukan hanya untuk casting sahaja. Yang penting kita perlu pandai setting untuk setiap gaya pancingan. Kata kunci utama ketika menggunakan set ultralight ialah “jangan gopoh dan terburu-buru apabila strike” tak kiralah ikan kecil atau besar. Sesetengah spesies walaupun bersaiz kecil tetapi daya lawan sangat hebat. Sentiasalah letakkan diri dalam situasi 50-50 agar kita tidak melakukan kesilapan yang boleh mengagalkan apa yang kita stike. Contohnya ikan kurau, nampak sahaja kecil tetapi daya juang spesies ini sangat tinggi hingga dapat menarik tali keluar dari spool. Keterujaan untuk mendaratkan ikan yang strike dengan cepat mungkin boleh membuatkan pemancing berputih mata.

Siapa yang tidak seronok apabila melihat hujung joran melentok. Dalam keseronokan itu kita juga harus berhati agar tidak membebankan bending rod terlalu lama dalam keadaan statik lentok. Bebanan yang terlalu mampat pada bahagian bending memungkinkan rod boleh patah. Lainlah pembuat rod sengaja ingin menguji hingga tahap mana rod dapat bertahan. Langkah kawalannya adalah dengan me-release mainline pada spool dengan mengendurkan drag. Ini bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh rod. Apa yang penting tanamkan di kepala ”saya sedang guna rod ultralight” dengan cara ini kita selamat.

Rod Sailang daripada Kanicen Nix juga saya gunakan untuk bermain di air tawar. Siapa tidak geram jika asyik tengok kawan-kawan strike sebarau saiz bagak. Saya hanya mahu strike juga cukuplah dengan saiz sepadan dengan permainan ultralight fishing. Rod Sailang dengan spoon Red Eye daripada Kanicen Nix saya bawa ke kampung di Nanga Merit, Kapit Sarawak. Saya ni jenis yang tidak memaksa diri meredah belantara mencari spesies serigala sungai. Cukuplah melepas gian di sungai berhampiran rumah panjang janji dapat strike. Spesies air tawar ini memang tak perlu cerita banyak semua tahu kehebatannya dan menjadi lesen utama kaki pancing. Penggunaan spoon red eye 3gram memang bersesuaian dengan mainline 1lb dan mudah digayakan ketika di kawasan berarus. Memang killer spoon ini sesuai dengan nama produk Grenti Strike.

Ikan bulan juga antara spesies buruan kaki pancing apalagi jika strike dengan set ultralight. Bukan mudah nak pujuk spesies ni terutama waktu tidak aktif. Apa yang menarik pada spesies ini apabila mampu melentokkan rod Sailang apabila strike dan saat acrobatic ikan bulan itu yang paling indah dapat lihat bagaimana spesies ini cuba melepaskan gewang pada mulut. Spesies ini adalah basic yang perlu dilalui oleh ultralight anglers dimana ia akan mengajar anda memilih rod yang sesuai untuk sesuatu jenis ikan dan ia juga mengajar teknik yang sesuai dalam menanganinya.

Begitu juga dengan ikan haruan jangan anggap spesies ini mudah untuk strike kalau tidak betul caranya. Saya cuba membuktikan yang ikan haruan ini tidak memilih gewang. Saya cuba memujuk haruan menggunakan spoon ternyata gedik Red Eyed spoon mampu menjeratnya.

Dalam apa juga teknik pancingan, kita perlulah menggunakan set up yang betul jika tujuan anda mencari kepuasan. Ini kerana setiap lontaran dengan setup yang betul mampu memberikan kepuasan maksimum dan adrenalin yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Pancingan ultralight sudah pasti akan memberi lebih karen jika setup yang anda pakai balance dan matching.

Related posts

FISHING TRIP. DON’T BE TOO SERIOUS. JOKES ARE NEEDED WHEN FISHING

BIGEYE TREVALLY AND BIGEYE SCAD NIGHT FISHING USING GELI GELI SOFTBAIT

SAILFISH ON ULTRALIGHT FISHING SETUP