Trip mancing kali ini saya ingin memperkenalkan spesis kepala ular ikan Runtu juga dikenali sebagai Haruan Runtu salah satu spesis snakehead yang hanya boleh ditemui di Sarawak dan Sabah sahaja. Ikan ini juga dikenali sebagai Baram Snakehead (nama ini di ambil kerana ikan di tangkap dari Sungai Baram, Sarawak) satu-satunya ikan berkepala ular; spesis Channa Baramensis yang mempunyai badan berbintik dan dikategorikan sebagai ikan yang unik. Ikan ini tidak terlalu besar dan dikatakan boleh membesar sekitar di bawah 30cm sahaja (masih tidak pernah jumpa bukti ada yang lebih dari itu).
Yang seronoknya dengan haruan runtu ialah sikapnya yang agresif tidak padan dengan saiz badan yang kecil comel. Ikan yang teritorial walaupun saiz boleh menjadi tanda tanya akan sikap yang degil dan menjaga kawasan habitatnya.
Hampir 4 tahun rasanya saya terjebak dengan pancingan Ultralight. Jika ada kelapangan masa hujung minggu pasti saya akan pergi ke spot-spot memancing untuk melepaskan gian memancing bak kata rakan-rakan sehobi strike itu bonus kumpau itu pasti… hahaha :). Apa yang penting usaha mencari strike itu ada.
Semangat untuk mencuba casting si kepala ular haruan Runtu membuak-buak walaupun sering kali mendapat teguran daripada rakan-rakan sehobi kerana mengikut pendapat mereka set ultralight kurang sesuai digunakan untuk pancingan si kepala ular. Daripada teguran itu saya faham maksud mereka bahawa set ultralight agak lembut dan pasti menghadapi kesukaran mengawal sentapan padu spesis ini. Dan jika silap cara boleh mengakibatkan joran patah.
Okay, misi bermula dengan persiapan untuk menduga ikan haruan runtu. Setup yang saya guna joran keluaran Kanicen Nix iaitu Leebass 1-6lb, Sengat 1-6lb dan Sailang 2-6lb. Pengunaan umpan pula saya memilih soft plastik keluaran Kanicen Nix Grenti Strike seperti Sutun, Candy Paddle Tail & Elastico.
Tips Memahami Habitat Ikan Haruan Runtu
Siap semua setup, jom terjah spot. Sebelum tu nak bagi tips sikit berdasarkan pengalaman sendiri memburu spesis ikan haruan Runtu ini:
1. Spot ikan Runtu di tempat saya berkongsi habitat yang sama dengan bujuk dan haruan.
2. Dari apa yang saya dapat tahu ikan Runtu hanya terdapat di Borneo jadi ia boleh dikira spesis rare jugak la.
3. Spesis-spesis ni mendiami kawasan air berwarna hitam gelap.
4. Perbezaan ikan Runtu ialah ia suka bersembunyi di kawasan air yang tenang tanpa arus tidak seperti ikan bujuk lebih suka tempat air yang mengalir.
5. Ukuran saiz lebar badan ikan runtu biasanya sekitar 2 jari orang dewasa. Panjang yang biasa saya dapat sekitar 15cm ke 20cm.
Cara Memujuk Ikan Runtu
Ikan Runtu mempunyai sikap yang amat rakus dan unik dan lebih gemar berada di kawasan air tenang yang tidak berarus. Apa yang unik tentang runtu ini apa bila gewang (umpan) yang kita cast jatuh di tebing parit boleh pula dia mlompat mendapatkan gewang seperti dia dah tunggu makanan datang. Bagaikan ia tengah menghendap belalang atau serangga lain di tebing. Agak berani dan saya perhatikan ia sanggup mengambil risiko. Mungkin itu sifat semulajadinya yang membuatkan saya agak terpegun,dengan saiz badan yang kecil tetapi mempunyai satu sifat yang amat luarbiasa. Ikan runtu juga sangat aktif walaupun sudah naik ke darat. Ia memang suka mengelupur mungkin cara nk melepaskan diri.
Jadi pada anda yang ingin mencari ikan runtu pastikan mencari kawasan air yang tenang dan lontar gewang tepat ke arah kawasan target. Karau dengan perlahan. Bergantung pada jenis pemilihan umpan anda. Bagi saya menggunakan produk Grenti Strike tidak pernah mengecewakan saya apabila memburu spesis ini. Biasanya saya akan guna Candy Paddle Tail, Elastico dan Curly Tail.
Apabila inginkan letupan saya juga menggunakan soft frog bersaiz 3-4cm yang kena pada dietnya. Lontaran ke arah rumput dan biar ia jatuh ke air seperti ada serangga jatuh. Jika ia berdekatan rakamlah aksi letupan ikan Runtu yang agak mengejutkan bunyinya. Ikan Runtu ini penuh dengan kejutan yang tidak boleh dijangka.
Jika ikan Runtu bersikap pasif saya perlu berusaha agak keras sedikit. Pada masa ini ia mungkin tidak mengemari umpan yang biasa digunakan. Jadi saya akan cuba mengabungkan soft bait Kanicen Nix dengan Rubber Jig atau Spinner Huzairy Works. Apa pun semua ini imaginasi anda dan kesanggupan anda dalam mempelbagaikan teknik. Kanicen Nix selalu berpesan pada saya “usaha perlukan kepelbagaian; jangan asik teknik sama yang membosankan”.
Setiap ikan yang dipancing saya akan cuba lepaskan kembali pada habitatnya sebaik dan secepat yang boleh. Dan tidak lupa gambar untuk pembakaran wajib. Hahaha… Sesi gambar juga akan dilakukan apabila perlu sahaja. Setiap sesi gambar saya cuba lakukan dalam 1-3 saat untuk mengelakkan ikan mati ketika bergambar. Saya sering mengamalkan etika tangkap dan lepas demi menjaga populasi habitat ikan ini. Jika ikan cedera parah saya akan membawanya pulang.
Berikut adalah report hasil pancingan ultralight daripada saya memburu spesis ikan haruan runtu. Terima kasih sebab sudi membaca hasil nukilan yang tak seberapa daripada saya. Apa yang penting kita enjoy memancing. Nantikan artikel saya akan datang. Jangan lupa share . Salam ultralight!! 😄